SALAH FAHAM MENGENAI PENYAKIT MENTAL
Salah Faham??? 😕
Masyarakat masih lagi melabel pesakit mental dengan anggapan yang salah. Seperti....
😖Semua pesakit mental sentiasa tidak siuman.
- Tidak semua penyakit mental akan menyebabkan pengidapnya menjadi tidak siuman. Hanya mereka yang mengidap penyakit 'psikosis' yang melibatkan kewarasan sahaja yang boleh mengalami masalah tidak siuman.Walaubagaimanapun ianya bersifat sementara dan boleh dirawat.
👨+👩 Semua penyakit mental disebabkan faktor genetik atau keturunan.
Tidak semua penyakit mental disebabkan oleh faktor genetik atau keturunan. Buktinya, tidak semua yang mengalami penyakit mental mempunyai salasilah keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental. Terdapat juga faktor lain yang boleh menyumbang kepada masalah penyakit mental seperti tekanan kerja, kewangan, penyalahgunaan dadah dan lain-lain.
😷 Pesakit mental hanya boleh dirawat di institusi psikiatri atau hospital mental sahaja.
Sebahagian besar penyakit mental boleh dirawat sebagai pesakit luar seperti orang awam yang lain. Hanya pesakit mental yang kerap mengalami penyakit berulang ( relapse ) kerana berhenti memakan ubat atau sakit teruk kerana terbiar lama dan tidak mendapat rawatan doktor sahaja yang akan dirawat di hospital.
😎 Pesakit mental tidak dapat menjalani kehidupan biasa dan sentiasa bergantung kepada orang lain.
Sama seperti penyakit fizikal, penyakit mental juga boleh sembuh sekiranya diberikan rawatan yang teratur dan berterusan. Mereka yang hilang upaya akibat mengidap penyakit mental masih mampu berdikari sekiranya menjalani rawatan pemulihan.
😡 Pesakit mental selalu mengganas dan perlu diasingkan
Jumlah kes keganasan disebabkan oleh pesakit mental adalah sangat kecil, tetapi ia disensasikan oleh pihak media. Keadaan ini adalah bersifat sementara sahaja dan boleh berlaku sekiranya penyakit mental yang dialami tidak mendapat rawatan. Rawatan yang sempurna akan membantu pesakit mental menjadi lebih tenang, terkawal dan tidak perlu disisihkan dari masyarakat.
💪 Pesakit mental tidak boleh bekerja
Melalui program pemulihan yang komprehensif dan sistematik, pesakit mental yang teruk boleh dipulihkan dan kembali kepada kehidupan yang normal. Mereka boleh bekerja atau berdikari untuk menyara kehidupan mereka seperti sediakala.
😔 Pesakit mental merupakan orang yang lemah semangat dan suka menurut perasaan.
Mereka kelihatan lemah semangat dan suka menurut perasaan disebabkan penyakit mental yang dialami belum dirawat sepenuhnya. Dengan rawatan yang sempurna, masalah ini dapat diatasi.
🙇 Pesakit mental perlu diasingkan
Pesakit mental biasanya akan pulih dengan segera apabila mendapat rawatan yang sempurna dan mereka boleh dirawat dalam masyarakat sekeliling tanpa pengasingan.
👯 Penyakit mental boleh berjangkit.
Elakkan bergaul dengan mereka.
Penyakit mental bukan disebabkan oleh kuman, bakteria ataupun virus. Oleh itu, ia tidak boleh berjangkit.
😵 Oleh kerana punca sebenar penyakit mental tidak diketahui maka ianya mustahil untuk dicegah.
Langkah-langkah pencegahan penyakit mental adalah meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental, mengendalikan tekanan secara positif dan mengamalkan cara hidup sihat.
👺 Pesakit mental mempunyai "split personality", kadang-kadang baik, kadang-kadang jahat. Oleh itu mereka tidak boleh dipercayai.
Tanda-tanda ketara pada seorang pesakit mental adalah akibat penyakitnya dan bukan disebabkan "split personality". Mereka perlu diberi bantuan untuk patuh memakan ubat dan menerima rawatan berterusan.
👸 Pesakit mental ini sebenarnya mengada-ngada dan sengaja hendak perhatian orang lain.
Tanda-tanda penyakit mental adalah bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat, ia adalah tanda penyakit mental yang sebenarnya.
✱kredit : Kementerian Kesihatan Malaysia. KKM/2009/200,000.
www.myhealth.gov.my
www.myhealth.gov.my
www.infosihat.gov.my
Comments
Post a Comment